Semakan Wang Tak Dituntut (WTD) Melalui eGUMIS

Semakan Wang Tak Dituntut (WTD) Melalui eGUMIS

Portal eGUMIS kini boleh diakses secara rasmi bagi memudahkan orang ramai membuat semakan Wang Tak Dituntut (WTD) secara dalam talian.

Semakan boleh dilakukan menggunakan nombor kad pengenalan (individu) atau nombor pendaftaran syarikat.

Menurut laporan terkini oleh Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM), jumlah keseluruhan WTD yang direkodkan sehingga 31 Januari 2025 adalah sebanyak RM12.7 bilion. Ini menunjukkan bahawa masih ramai individu dan syarikat yang belum menuntut wang mereka, yang mungkin berpunca daripada kurangnya kesedaran mengenai WTD.

Pada masa sama, Kementerian Kewangan, berkata JANM turut mengadakan taklimat secara dalam talian kepada agensi kerajaan dan swasta bagi menerangkan kaedah semakan dan tatacara permohonan tuntutan WTD.

Selain itu, turut dilaksanakan perluasan perkhidmatan Kaunter Semakan dan Bayaran Balik WTD dan hebahan berkala melalui saluran televisyen nasional.

Apa Itu Wang Tak Dituntut?

WTD merujuk kepada wang milik individu atau syarikat yang tidak diklaim dalam tempoh tertentu. Mengikut Seksyen 8 Akta WTD 1965, wang ini boleh terdiri daripada:

  • Gaji, bonus, komisen atau pembayaran lain yang tidak dituntut.
  • Dividen atau keuntungan yang telah diisytiharkan tetapi tidak dibayar.
  • Tuntutan insurans yang telah diluluskan tetapi tidak diklaim.
  • Draf bank, cashier’s order, atau instrumen kewangan lain yang telah tamat tempoh sah laku.
  • Akaun simpanan atau semasa yang tidak aktif lebih dari 7 tahun.
  • Deposit cagaran yang tidak diklaim selepas tujuan asal tercapai.
  • Bayaran balik lebihan pinjaman atau caj perkhidmatan yang gagal dikembalikan.

Kenapa Wang Tak Dituntut Berlaku?

Terdapat beberapa sebab mengapa WTD berlaku, antaranya:

  • Pemilik lupa tentang akaun atau pelaburan yang dibuat.
  • Waris tidak menyedari kewujudan wang atau aset milik si mati.
  • Pindaan alamat menyebabkan surat pemakluman tidak sampai.
  • Pemilik akaun meninggal dunia tanpa waris mengetahui tentang simpanannya.

Cara Membuat Semakan Wang Tak Dituntut Online

Untuk memudahkan semakan, kerajaan telah memperkenalkan portal eGUMIS. Ikuti langkah berikut:

  1. Layari portal rasmi eGUMIS.
  2. Buat pendaftaran pengguna dan sahkan akaun melalui emel.
  3. Log masuk ke portal dan kemaskini maklumat peribadi.
  4. Klik pada “Klik di sini untuk carian Wang Tak Dituntut”.
  5. Masukkan nombor kad pengenalan atau nombor pendaftaran syarikat.
  6. Jika ada WTD, cetak maklumat tersebut dan teruskan dengan proses tuntutan.

Nota: Semakan hanya boleh dilakukan sebanyak dua kali sehari.

Proses Tuntutan Wang Tak Dituntut

Jika anda mendapati terdapat WTD atas nama anda, ikuti langkah-langkah tuntutan berikut:

  • Pastikan anda pemilik sah atau waris yang layak.
  • Kumpulkan dokumen sokongan seperti salinan kad pengenalan dan bukti pemilikan wang.
  • Isi borang tuntutan yang boleh dimuat turun dari eGUMIS.
  • Hantar permohonan secara dalam talian atau ke cawangan JANM terdekat.
  • Semak status permohonan dari semasa ke semasa melalui portal eGUMIS.

Proses ini biasanya mengambil masa sekitar 30 hari untuk dikreditkan ke dalam akaun bank anda.

Penalti Jika Syarikat Tidak Menyerahkan Wang Tak Dituntut

Mengikut undang-undang, syarikat yang gagal menyerahkan WTD kepada kerajaan boleh dikenakan denda yang tinggi. Ini termasuk pemeriksaan audit oleh pihak berkuasa serta tindakan undang-undang jika didapati bersalah.

Tips Mengelakkan Wang Tak Dituntut

  • Kemaskini maklumat akaun bank secara berkala.
  • Simpan rekod transaksi kewangan seperti deposit dan pelaburan.
  • Pastikan waris mengetahui tentang sebarang simpanan atau pelaburan yang anda miliki.
  • Sentiasa menyemak akaun bank dan insurans anda agar tidak dibiarkan tidak aktif.

Maklumat Lanjut

Untuk sebarang pertanyaan lanjut, sila rujuk laman rasmi eGUMIS atau kunjungi pejabat JANM terdekat.

Leave a Comment